AKU ANAK MALAYSIA
Hari ini hari Malaysia mencapai kemerdekaan. 31 Ogos 2023 adalah tahun ke 66 setelah tanah melayu bebas dari jajahan. Panjang kalau nak cerita sejarah Malaysia.
Pagi ini hujan selebatnya selepas subuh. Aku dan suami dah berjanji dengan Ziyad untuk bawa dia melihat perarakan. Ziyad cukup suka dengan dengan anggota keselamatan. Baik tentera, polis mahupun bomba. Terima kasih kepada Paskal the movie sebab filem ini berjaya mempengaruhi anak aku.
Jam menunjukkan 7.30 pagi. Aku dah kejut Ziyad untuk mandi dan bersiap. Hujan masih merintik. Kalau ikutkan hati aku dah malas nak keluar. Tarik selimut lagi seronok. Tapi demi memori seorang anak, aku gagahi juga untuk bersiap dan keluar. Cadangan awalnya kami nak naik motor saja. Tapi di sebabkan hujan, kami redah juga dengan kereta.
Orang mula membanjiri kawasan dataran. Oh lupa, kami dapat juga parking. Alhamdulillah. Doa Ziyad, “ Ya Allah, bagilah ada parking untuk Ziyad. Amin..” itulah Ziyad. Kami sentiasa didiknya meminta pada Allah. Haza min fadli rabbi.
Kami berjalan kaki. Cuba mencari-cari ruang yang terbaik untuk Ziyad melihat perarakan. Mungkin sebab orang ramai sepanjang jalan, jadi kami tak terasa jauhnya kami sudah berjalan. Jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi. Aku dapat lihat anggota tentera berpakaian serba putih sudah bersedia di hadapan pentas VIP. Suami aku dan Ziyad sudah ke hadapan. Aku hanya berdiri di belakang dengan berpayung berlindung dari hujan.
Aku melihat di sekitar. Orang tersangat ramai. Walaupun hujan, tapi aku melihat wajah-wajah seronok. Aku tahu seawal selepas subuh lagi sudah ada yang datang menunggu. Aku yang sampai lewat pun dah penat menunggu majlis yang masih lagi belum bermula. Hujan masih renyai-renyai. Tapi melihat barisan tentera yang langsung tidak bergerak meredakan hatiku yang sudah mula menyampah.
Ya. Aku mula menyampah. Menunggu ketibaan VVIP membuatkan aku terfikir kenapa aku dengan rela datang juga ke sini. Kenapa semua orang yang hadir berhujan ke sini dengan rela. Dengan anak kecil. Dengan basahnya. Kalau aku dengan penatnya berdiri lagi. Semua yang hadir ni secara RELA. Tidak ada paksaan. Menyampahnya aku!
Aku melihat jam di tangan. 9.30 pagi sudah. Lenguh di kaki sudah tak mampu untuk aku berdiri. Suara pengerusi majlis menahan aku untuk beredar dari situ. Akhirnya! Majlis pun bermula. Aku menarik nafas lega. Tapi hati masih lagi menyampah dan tak puas hati. Tapi tetap juga rela menunggu. Bersama-sama dengan ramai lagi orang.
Majlis bermula dengan persembahan koir. Lagu warisan yang pertama. Lagu yang menyentap dan menyentuh hati aku. Lagu nyanyian arwah Sudirman. Sepanjang lagu ni di nyanyikan, aku melihat sekitar. Aku melihat mereka-mereka yang hadir. Aku melihat wajah anak-anak yang gembira di dalam hujan renyai-renyai. Aku melihat pengorbanan ayah-ayah yang mendukung anak-anak mereka untuk melihat dengan lebih jelas. Aku melihat ibu-ibu yang berusaha melindungi anak-anak yang masih kecil dari hujan. Aku menyaksikan kerelaan mereka!
Di sini lahirnya sebuah cinta. Bait lirik Sudirman sangat sesuai dengan keadaan yang aku lihat. Kerana cinta pada negara mereka hadir dengan rela. Kerana cinta pada negara mereka rela berhujan menunggu. Kerana cinta pada negara mereka rela meredah untuk bersama-sama pada hari ini.
Aku bukanlah seorang perwira. Gagah menghulur senjata. Namun hati rela berjuang. Walau dengan cara sendiri. Demi cinta ini.
Nampak? Kami yang rela berhujan ni bukanlah siapa-siapa. Kami yang rela berjalan sejauh dari parking ni bukanlah siapa-siapa. Kami yang rela menunggu seusai subuh ini bukanlah siapa-siapa. Tapi ini sahaja yang mampu kami tunjukkan betapa kami juga mencintai negara kami. Kerana apa?
Ku ingin kotakan seribu janji. Sepanjang kedewasaan ini. Ku ingin sampaikan pesanan. Akulah menyambung warisan.
Ya. Kerana kami yang bukan siapa-siapa ini adalah penyambung warisan. Warisan nenek moyang kami. Warisan mereka-mereka yang berjasa mempertaruhkan nyawa mempertahankan negara. Warisan mereka-mereka yang telah pergi setelah selesai memerdekakan tanah air tercinta.
Lagu ni telah buat aku menangis dalam hujan. Mujur terlindung dengan payung. Aku dan mereka-mereka yang hadir tidak pun berbumbungkan khemah-khemah. Aku dan mereka-mereka yang hadir bukanlah di paksa-paksa. Tapi demi meraikan hari ini. Aku dan mereka-mereka ini hadir dengan rela.
Aku mengundur diri lebih awal. Membiarkan anak dan suamiku di hadapan. Aku berjalan perlahan menuju ke kereta yang di parking jauh. Terasa jauh perjalanan bila keseorangan. Terasa letih berjalan bila sendirian. Aku melihat barisan anggota badan uniform bersurai di belakang. Mereka-mereka yang hadir mengambil kesempatan untuk bergambar. Meraikan anggota keselamatan negara. Hari ini hari mereka. Hari ini hari kita. Hari ini hari negara.
Kita sudah merdeka secara rasminya. Kita sudah merdeka secara lahiriah. Tapi kita masih lagi berperang sebenarnya. Perang saraf. Akan aku ceritakan nanti. Cukup hari ini untuk ketika ini.
No comments:
Post a Comment