ceritaku

Thursday, August 31, 2023

AKU ANAK MALAYSIA

AKU ANAK MALAYSIA

Hari ini hari Malaysia mencapai kemerdekaan. 31 Ogos 2023 adalah tahun ke 66 setelah tanah melayu bebas dari jajahan. Panjang kalau nak cerita sejarah Malaysia. 
Pagi ini hujan selebatnya selepas subuh. Aku dan suami dah berjanji dengan Ziyad untuk bawa dia melihat perarakan. Ziyad cukup suka dengan dengan anggota keselamatan. Baik tentera, polis mahupun bomba. Terima kasih kepada Paskal the movie sebab filem ini berjaya mempengaruhi anak aku. 

Jam menunjukkan 7.30 pagi. Aku dah kejut Ziyad untuk mandi dan bersiap. Hujan masih merintik. Kalau ikutkan hati aku dah malas nak keluar. Tarik selimut lagi seronok. Tapi demi memori seorang anak, aku gagahi juga untuk bersiap dan keluar. Cadangan awalnya kami nak naik motor saja. Tapi di sebabkan hujan, kami redah juga dengan kereta. 

Orang mula membanjiri kawasan dataran. Oh lupa, kami dapat juga parking. Alhamdulillah. Doa Ziyad, “ Ya Allah, bagilah ada parking untuk Ziyad. Amin..” itulah Ziyad. Kami sentiasa didiknya meminta pada Allah. Haza min fadli rabbi. 

Kami berjalan kaki. Cuba mencari-cari ruang yang terbaik untuk Ziyad melihat perarakan. Mungkin sebab orang ramai sepanjang jalan, jadi kami tak terasa jauhnya kami sudah berjalan. Jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi. Aku dapat lihat anggota tentera berpakaian serba putih sudah bersedia di hadapan pentas VIP. Suami aku dan Ziyad sudah ke hadapan. Aku hanya berdiri di belakang dengan berpayung berlindung dari hujan. 

Aku melihat di sekitar. Orang tersangat ramai. Walaupun hujan, tapi aku melihat wajah-wajah seronok. Aku tahu seawal selepas subuh lagi sudah ada yang datang menunggu. Aku yang sampai lewat pun dah penat menunggu majlis yang masih lagi belum bermula. Hujan masih renyai-renyai. Tapi melihat barisan tentera yang langsung tidak bergerak meredakan hatiku yang sudah mula menyampah. 

Ya. Aku mula menyampah. Menunggu ketibaan VVIP membuatkan aku terfikir kenapa aku dengan rela datang juga ke sini. Kenapa semua orang yang hadir berhujan ke sini dengan rela. Dengan anak kecil. Dengan basahnya. Kalau aku dengan penatnya berdiri lagi. Semua yang hadir ni secara RELA. Tidak ada paksaan. Menyampahnya aku! 

Aku melihat jam di tangan. 9.30 pagi sudah. Lenguh di kaki sudah tak mampu untuk aku berdiri. Suara pengerusi majlis menahan aku untuk beredar dari situ. Akhirnya! Majlis pun bermula. Aku menarik nafas lega. Tapi hati masih lagi menyampah dan tak puas hati. Tapi tetap juga rela menunggu. Bersama-sama dengan ramai lagi orang. 

Majlis bermula dengan persembahan koir. Lagu warisan yang pertama. Lagu yang menyentap dan menyentuh hati aku. Lagu nyanyian arwah Sudirman. Sepanjang lagu ni di nyanyikan, aku melihat sekitar. Aku melihat mereka-mereka yang hadir. Aku melihat wajah anak-anak yang gembira di dalam hujan renyai-renyai. Aku melihat pengorbanan ayah-ayah yang mendukung anak-anak mereka untuk melihat dengan lebih jelas. Aku melihat ibu-ibu yang berusaha melindungi anak-anak yang masih kecil dari hujan. Aku menyaksikan kerelaan mereka! 

Di sini lahirnya sebuah cinta. Bait lirik Sudirman sangat sesuai dengan keadaan yang aku lihat. Kerana cinta pada negara mereka hadir dengan rela. Kerana cinta pada negara mereka rela berhujan menunggu. Kerana cinta pada negara mereka rela meredah untuk bersama-sama pada hari ini. 

Aku bukanlah seorang perwira. Gagah menghulur senjata. Namun hati rela berjuang. Walau dengan cara sendiri. Demi cinta ini. 

Nampak? Kami yang rela berhujan ni bukanlah siapa-siapa. Kami yang rela berjalan sejauh dari parking ni bukanlah siapa-siapa. Kami yang rela menunggu seusai subuh ini bukanlah siapa-siapa. Tapi ini sahaja yang mampu kami tunjukkan betapa kami juga mencintai negara kami. Kerana apa? 

Ku ingin kotakan seribu janji. Sepanjang kedewasaan ini. Ku ingin sampaikan pesanan. Akulah menyambung warisan. 

Ya. Kerana kami yang bukan siapa-siapa ini adalah penyambung warisan. Warisan nenek moyang kami. Warisan mereka-mereka yang berjasa mempertaruhkan nyawa mempertahankan negara. Warisan mereka-mereka yang telah pergi setelah selesai memerdekakan tanah air tercinta. 

Lagu ni telah buat aku menangis dalam hujan. Mujur terlindung dengan payung. Aku dan mereka-mereka yang hadir tidak pun berbumbungkan khemah-khemah. Aku dan mereka-mereka yang hadir bukanlah di paksa-paksa. Tapi demi meraikan hari ini. Aku dan mereka-mereka ini hadir dengan rela. 

Aku mengundur diri lebih awal. Membiarkan anak dan suamiku di hadapan. Aku berjalan perlahan menuju ke kereta yang di parking jauh. Terasa jauh perjalanan bila keseorangan. Terasa letih berjalan bila sendirian. Aku melihat barisan anggota badan uniform bersurai di belakang. Mereka-mereka yang hadir mengambil kesempatan untuk bergambar. Meraikan anggota keselamatan negara. Hari ini hari mereka. Hari ini hari kita. Hari ini hari negara. 

Kita sudah merdeka secara rasminya. Kita sudah merdeka secara lahiriah. Tapi kita masih lagi berperang sebenarnya. Perang saraf. Akan aku ceritakan nanti. Cukup hari ini untuk ketika ini. 

Tuesday, August 22, 2023

SUNYI


Mata bundarnya merenung jauh ke depan. Redup tapi jelas menyimpan rasa sakit yang mendalam. Entah apa yang sedang bermain di dalam benak fikirannya. Buku ditangan terbuka tanpa berkalih. Seketika dia menarik nafas panjang. Bukan mengeluh tapi lebih kepada melepaskan berat rasa di dada. 

Dia memandang sekeliling. Bunyi suara-suara orang di sekeliling langsung mengganggu dia. Sudah tiga jam dia berada di kafe tersebut. Sengaja dia membawa diri ke situ. 

Wednesday, August 16, 2023

DIDIK GENERASI DENGAN ADAB DAN AKHLAK

Kepimpinan melalui tauladan. Cukup ayat ini menyatakan bahawa seorang pemimpin itu perlu tunjuk adab dan akhlak yang baik. 

Nabi sendiri kita ketahui mempunyai adab dan akhlak yang terpuji. Kerana begitulah tuntutan dalam agama. Budaya caci maki hina menghina bukanlah yang diajar dalam agama. Malah mana-mana agama sekalipun. 

Pemimpin perlu menunjukkan contoh tauladan yang baik sebagaimana nabi menunjukkan contoh yang terbaik yang boleh kita ikuti. Menjadi pemimpin bukan sahaja pandai mengurus masyarakat itu sendiri malah perlu juga menunjukkan nilai-nilai yang terpuji yang sepatutnya ada pada seorang pemimpin itu. 

Bukankah nampak terlalu buruk kalau seorang pemimpin itu terlalu teruk adab dan akhlaknya. Aku menolak pemimpin yang mempunyai adab dan akhlak yang teruk. Sebab generasi anak aku akan menilai. 

Tuesday, August 15, 2023

MATA TIDAK MENIPU

 Tahu tak bagaimana seorang pelakon itu berjaya?

Apabila dia berjaya membawa watak yang diberikan sehingga penonton merasai apa yang dia rasai. Dia berjaya menjadikan bahasa badannya di baca oleh penonton!

Mata mereka tidak menipu. Bahasa badan mereka juga tidak menipu. Mereka menghasilkan karya yang berjaya mengheret penonton untuk merasai emosi mereka.

Mata mereka berjaya menunjukkan rasa perit, sakit, dan sedih.  

Mereka berjaya meleretkan senyuman. Tapi dalam masa yang sama mereka berjaya menunjukkan rasa kesakitan yang mendalam. Gila! Perasaan yang di tunjukkan bukan mudah untuk dilakonkan. Bukan mudah untuk dipamerkan begitu sahaja.

Dan aku adalah salah seorang penonton gila yang berjaya mereka manipulasikan emosi. Kerana aku seorang yang mudah tenggelam dalam emosi.



MELEPASKAN RASA

 

Untuk kesihatan mentalku, menulis adalah terapi.

 Terlalu banyak faktor sekeliling yang menjadikan aku sesak sekarang ini. Terutama sekali isu politik negara yang menyakitkan hati. Politic is a game. Pemain-pemainnya adalah ahli-ahli politik itu sendiri. Manakala tukang sorak di luar adalah ahli-ahli parti mereka. Ibarat bola sepak. Pemain bola sepak adalah ahli politik. Peminat bola sepak atau tukang sorak adalah ahli-ahli bawah. Sama. Yang untungnya adalah mereka yang bermain. Mereka kalah atau menang mereka bahagia. Kerana itu adalah kehidupan mereka. Yang beremosi adalah tukang sorak. Emosi sehingga permainan tamat. Emosi sehingga mengganggu tukang-tukang sorak pihak lawan. Habis segala kata-kata nista caci maki sehingga menggelar seseorang dengan pelbagai gelaran.

Kenapa aku terkesan? Kerana aku mangsa sebahagian kata-kata tersebut. Kenapa aku emosi? Kerana hati aku bukan sekering hati orang-orang yang kering. Hati aku ibarat span yang menyerap segalanya tanpa ada tapisan.

Kerana itu aku perlu keluar dari suasana negetif itu. Teramat menyesakkan. Teramat memualkan. Teramat menyakitkan. Media social bagi aku sekarang teramatlah toksik. Teramat teruk untuk aku buka dan tatap. Sebab teramat ramai manusia-manusia yang bermulut jahat. Menabur neratif-neratif negetif. Betul kata Imam Ghazali, lidah itu lebih tajam dari mata pedang. Dunia memang gila. Tahniah bagi sesiapa yang mempu bertahan, kerana aku bukan begitu. Untuk katakan aku lemah. Ya silakan. Untuk katakan aku terlalu mengikut perasaan. Ya silakan. Silakan dengan hujah-hujah kalian. Aku tak mampu menelan hujah-hujah yang dibuat untuk sekadar menyenangkan hati kalian sendiri. Silakan.

Buat masa sekarang aku lebih gemar menulis melepaskan rasa. Mendengar halwa-halwa telinga yang aku inginkan. Menonton movie-movie yang mampu mengalih seluruh perhatianku dari dunia politik yang gila itu. Aku terjebak. Dan aku kena berusaha keluar dari terus berada dan tenggelam dalam emosi yang gila itu.

Mungkin orang-orang akan kata benda kecil saja untuk aku perbesarkan. Ikut kalian. Bagi aku, ianya telah menjejaskan kesihatan mental aku. Aku masih menulis isu yang sama. Kerana ini yang aku rasa sekarang. Mungkin aku akan menulis perkara-perkara yang lain sebentar lagi. Kerana aku menulis untuk melepaskan rasa. Melepaskan pada manusia akan menajdikan aku lebih teruk kerana terbuka kepada kritikan dan hukuman. Menulis begini lebih melegakan.