Review filem PULANG
KHABIR BAKHTIAR tidak pernah mengecewakan. Kali ini satu naskah yang
diadaptasi dari kisah benar. Kisah orang yang biasa-biasa, tetapi luar biasa
pengkisahannya. Sarat dengan emosi yang mencengkam.
Kisah dimulakan dengan
laungan nenek kepada cucunya. Kemudian berlanjutan kepada flashback filem
PULANG. Sangat beremosi. Kisah penantian seorang isteri yang penuh dengan
sabar. Walau dalam sabar ada marahnya. Walau dalam marah ada sayangnya. Kisah seorang
anak yang menunggu kepulangan abahnya. Setia memegang janji dan terus menanti. Hingga
terus membesar bersama janji. Kisah seorang suami yang menanggung rindu anak
dan isteri. Tetapi kerana berjanji untuk beri kehidupan yang lebih baik, diteruskan
juga kehidupan sebagai kelasi. Jauh dari anak dan isteri. Jauh dari kampong halaman
sendiri. Membiarkan diri di lautan sepi. Menyinggah tepian hanya untuk
menghantar berita dimana diri.
Che Tom dan Othman juga
anak tunggal mereka Omar. Kerana ini adalah kisah benar, aku sendiri tak mampu
menanggung air mata sepanjang filem itu ditayangkan. Sebak, esak dan sangat
beremosi. Penderitaan penungguan itu sangat menyesakkan.
Aku tidak mahu
menyentuh permulaan perkenalan Othman dan Che Tom. Biar itu menjadi memori
mereka dan kita yang menonton. Othman meninggalkan Che Tom kali pertama ketika
jepun datang menjajah tanah Malaya. Kerana kaum lelaki dipaksa untuk bekerja
dengan mereka. Che Tom ketika itu tengah sarat mengandung. Dia melahirkan anak
ketika suami tidak ada disisi. Tapi masih setia menunggu pulangnya sang suami. Hinggakan
nama anak juga masih tidak diberi. Akhirnya, Othman pulang.
Degilnya Othman
membuatkan Che Tom kehilangan suaminya kali kedua. Demi sesuap nasi untuk
keluarga, Othman tegar berada di laut ketika cuaca sangat buruk. Menanti kepulangan
suami di tepian membuatkan Che Tom gusar. Di ajak kawan Othman keluar mencari
di laut. Akhirnya berjumpa. Othman pulang.
Demi melihat nasib
keluarga berubah. Demi melihat isterinya berhias indah. Othman lagi sekali
pergi. Cuba-cuba menjadi kelasi demi nasib anak dan isteri. Dan perginya kali
ini tidak pulang kembali.
Filem ini mengangkat
pengorbanan perasaan seorang isteri. Janji seorang suami. Dan kasih seorang
anak. Ada satu perkara dalam filem ini yang aku suka dalam banyak-banyak plot. Watak
Lum. Seorang sahabat Othman berbangsa Cina. Watak ini sangat memberi kesan
kepada aku. Makna seorang sahabat dalam erti kata yang sangat mendalam.
Lakonan semua pelakon yang sangat baik. Kerana kita tidak sama sekali di paksa
untuk mengalirkan air mata! ianya memang semula jadi. Bahasa tubuh dan
intonasi mereka berjaya menyentuh hati. Kita sendiri akan dapat merasa
beban perasaan yang ditanggung oleh Che Tom, Othman dan Omar. Dan filem ini akan lebih terkesan kepada yang telah berkahwin!
Aku bagi 9/10 untuk filem
ini. Pergilah menonton. Dan aku berjanji yang menonton pasti akan pulang dengan
emosi. Kalau anda melihat dengan mata hati. Impak filem ini sangat luar biasa. Ini bukan fantasi tetapi realiti.
No comments:
Post a Comment