ceritaku

Tuesday, August 2, 2011

Ayuh Manfaatkan Ramadhan

Alhamdulillah. Syukur pada Allah, kerna apa? kerna kita masih bernafas dan kita masih mampu melihat matahari memancarkan sinarannya. Alangkah bertuahnya kita, sama ada kita sedar atau pun tidak, kita masih lagi diberi kesempatan oleh Allah SWT, dipanjangkan umur kita untuk berjumpa bulan yang mulia, bulan yang penuh keberkatan di dalamnya, bulan yang mana ada satu malam di dalamnya lebih daripada baik daripada seribu bulan iaitu bulan Ramadhan. Rasanya, amat rugi jika kesempatan yang Allah beri untuk kita pada bulan mulia ini kita sia-siakan begitu sahaja. Amat rugi jika kita masih melakukan amalan bagai melepaskan batuk di tangga. Kan?

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, Kita perlu sedarkan diri kita bahawa dari kecil hingga kini kita bergelumang dengan nikmat Allah yang tidak terhingga. Jika dikira serta dihitung nescaya tidak terhitung ! Hari ini, kita masih ada mulut untuk berbicara, hari ini, kita masih ada tangan, kaki dan tubuh badan yang sihat untuk melakukan sesuatu, hari ini, kita masih mata untuk melihat, hari ini juga kita masih ada jantung yang mengepam darah untuk kita terus hidup dan bernyawa. Lihatlah dan renunglah, betapa besar dan banyaknya nikmat Allah yang kita nikmati. Hari ini juga Allah masih memberikan nikmat bulan Ramadhan kepada kita. Bulan yang belum tentu kita akan ketemu pada masa akan datang.

Oleh itu, apakata pada bulan Ramadhan ini, bulan yang mana setiap amal kebaikan atau kebajikan dilipatgandakan pahalanya, kita menggunakan mulut yang Allah anugerahi kepada kita itu untuk berdzikir memuji dan membesarkan-Nya serta membaca al-Quran dan bukannya digunakan untuk mengumpat atau ber “soksek” tentang perkara yang tidak membawa apa-apa faedah. InsyaAllah, bilamana dengan hanya kita berzikir kepada-Nya sahaja, Allah akan menganjarkan pahala yang berlipatganda kepada kita. SubhanAllah, betapa Pemurahnya Allah. Namun, berhati-hatilah dengan mulut yang Allah anugerahi itu, silap masa dan ketika, kerana mulut badan binasa. Kerana mulut, puasa kita sia-sia.

Apakata juga kita menggunakan tangan, kaki dan tubuh badan yang sihat yang Allah anugerahi kepada kita untuk beribadat sesungguhnya kepada Allah, melakukan amal kebajikan sesama insan dan bukannya kita menggunakannya pada perkara-perkara maksiat, pada perkara-perkara yang Allah benci. Jika mata kita masih mampu melihat, sebaiknya kita menggunakan mata yang Allah anugerahi kepada kita itu untuk membaca bait-bait Cinta Allah iaitu Kitabullah yakni al – Quran dan bukannya kita menggunakan ia untuk melihat perkara-perkara maksiat, benda-benda yang boleh mempunahkan iman kita.

Kita juga perlu sedar, bukan semua insan yang terpilih untuk bersama menikmati bulan Ramadhan kali ini. Ada yang telah kembali pada Allah dan kita, alhamdulillah kita masih hidup. Selagi kita masih hidup di bulan Ramadhan ini, jangan kita bermalas-malasan ! jangan kita bertangguh-tangguhan dalam melakukan amal kebaikan. Manfaatkanlah sebaiknya ! bulan Ramadhan bulan ibadat. Ingatlah, ‎"Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akan diampuni semua dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih).

Jadi, marilah sama-sama kita berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasa kita insyaAllah akan derdhai dan diterima. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

AYUH! MARILAH KITA MANFAATKAN BULAN RAMADHAN INI UNTUK BERIBADAH MENGGAPAI REDHANYA !

moga Allah redha :)

by: ilmi-islami.com

No comments: