ceritaku

Sunday, September 24, 2023

SEPTEMBER BULAN MEMORI

12 september 2015 adalah tarikh aku akad nikah termateri perjanjian hidup bersama seorang insan yang aku hanya sempat bertaaruf sekejap mungkin. Ingat-ingat lupa aku. Apa yang menyebabkan aku terima lamaran dari seorang insan yang asing ketika itu? Hati. Ya hati aku tenang ketika menerima lamaran dari insan yang kini menjadi suami aku.

            Untuk abang, terima kasih kerana berani walaupun tahu takut-takut nak berdepan dengan ayah pada awalnya. Tapi sekarang dah menjadi menantu kesayangan kerana abang telah menjadi tempat umi dan ayah juga sebagai rujukan. Abang telah meletakkan benchmark yang tinggi untuk menantu-menantu lain capai. Yang ni ayah sendiri yang cakap. Haha. Adik-adik juga sangat selesa dengan abang melebihi angah selaku abang kandung mereka. Apa-apa masalah mereka cari abang untuk rujukan. Terima kasih menjadi abang long kepada adik-adik. Terima kasih menerima kekurangan diri ini seadanya. Sangat tenang melalui cabaran hidup bersama. Kerana hidup kita ada turun naiknya. Sangat bertoleransi dalam segala aspek. Sangat berusaha memperbaiki kehidupan kita yang kadang tu dilambung ombak tinggi. Terima kasih menjadi walid yang penyayang kepada Ziyad. Masih lagi menjadi satu-satunya anak kita. Insya Allah kita masih lagi menunggu berita gembira untuk diberikan kepada Ziyad. Terima kasih untuk segalanya. Selamat ulang tahun perkahwinan yang ke-8 Alhamdulillah.. 

 


Kalau tajuk pun September bulan memori mesti ada lagikan memori untuk dikongsi. Ya ada. Semalam alang telah menang naib johan anugerah belia negara peringkat negeri kedah. Tahniah alang. Untuk dia berdiri di mana dia berada sekarang bukan mudah jalannya. Bukan setahun dua dia membinanya. Dan bukan sedikit air matanya yang keluar. Ala kullihal, dia layak mendapat apa yang selayaknya dia dapat.



Semalam juga telah berlangsung pertunangan ateh. Alhamdulillah. Moga berjalan lancar untuk ke next step.




 

 


BERSYUKUR DENGAN MUSIBAH DAN UJIAN

 Baru-baru ni aku saja ikut umi pergi ambik iman tuisyen. Kebetulan balik tidur rumah umi. Aku memang suka ambil kesempatan bersembang dengan umi. Sebab umi suka bagi kata-kata nasihat dan peringatan.

            Dalam perjalanan tu aku saja bukak cerita pasal acik dan bangcik accident dengan motor. Mujur juga hanya kereta yang rosak dan tiada melibatkan nyawa. Biasa la acik dan emosinya tak dapat dipisahkan. Haha.

            Umi jumpa acik dan bangchik di KL selepas umi ayah balik dari Acheh tempoh hari. Nasihat umi : biasa la tu, Allah bagi ujian, musibah sikit tanda Dia ingat dengan kita. Cumanya macamana kita nak terima ujian tu. Terima saja ka atau terima dengan bersyukur. Kita nak bersyukur dengan ujian dan musibah bukan senang tau. Ujian waktu susah ni memang semua orang ingat Allah. Pasti. Asal ujian saja ingat Allah. Tapi yang paling takut sekali waktu ujian Ketika senang. Waktu tu nak ingat Allah atau dak. Yang tu baru ujian sungguh.

            Aku diam membisu mendengar nasihat umi. Moga kita semua bernaung di bawah Rahmat Allah sentiasa.



Monday, September 4, 2023

PENGALAMAN BURUK

 

Aku ada pengalaman buruk semasa sekolah rendah. Bagi aku ini adalah pengalaman buruk. Mungkin bagi orang lain ini adalah hal biasa. Gred aku bukanlah elok Ketika di sekolah rendah. Jadi pelajar seperti aku ni sering di tolak dan di pinggirkan. Di nafikan bakat atau kelebihan. Atau lebih jelas lagi bakat pun tak dicungkil.

            Ketika di sekolah rendah juga aku mula rasa rendah diri. Rasa lekeh. Rasa tak berguna. Tapi dalam pada masa tu aku tetap main bersama kawan-kawan yang sama baya. Sama gred. Sama semua. Yelah. Zaman kanak-kanak. Belajar mana lah nak sangat. Main saja lebih.

Aku Cuma mahu ceritakan pengalaman aku. Orang lain mungkin dengan cara dan rasa yang berbeza. Baik dalam bidang akademik mahupun sukan aku tak diberi peluang. Kalau ada pun sebagai picisan dan gantian tanpa peluang untuk mengcungkil bakat.

            Orang kata, ala.. biasa la sekolah rendah lagi. Budak-budak. Apa nak kisah sangat. Ya. Kata-kata mungkin boleh diungkap dengan mudah. Yang merasanya adalah diri sendiri. Aku bersyukur punya umi dan ayah yang berlapang dada dan terima setakat mana kebolehah anak-anak. Yang penting didikan agama itu perlu di terapkan sejak kecil.

            Pengalaman yang aku lalui Ketika zaman sekolah rendah itu atau lebih kepada emosi rendah diri Ketika waktu itu terbawa-bawa sehingga sekarang. Ya. Sekarang di mana aku punyai anak yang sudah di sekolah rendah. Sekolah yang sama aku menuntut. Dan apabila emosi terburuk itu aku rasa dan terbawa-bawa, maka secara tidak langsung aku turut sama risau keadaan anak aku Ketika sekrang ini.

            Beza anak-anak kawan bekas pelajar yang cemerlang Ketika di sekolah berbanding anak-anak bekas pelajar yang kurang cemerlang macam aku. Mungkin bayangan aku mengekori anak aku? Atau aku sekadar beranggapan begitu?? Apa pun kerisauan itu tetap ada.

            Kenapa aku tetap menghantar anak aku ke sekolah yang sama dengan aku? Kerana aku tidak nafikan Pendidikan yang aku terima Ketika di sana adalah yang terbaik di kalangan terbaik. Aku tak boleh nafikan bahawa sekolah itu mempu memberikan Pendidikan keseluruhan kepada anak aku dari segala aspek. Selagi mana dia tidak hanya di nilai berdasarkan akademik semata. Malah cuba atau sekurang-kurangnya mengcungkil bakat anak aku. Selagi dia tidak dipandang enteng oleh pendidik-pendidik yang mendidik di situ.

            Apakah aku cemerlang di sekolah menengah? Bukan aku untuk menilai. Yang pasti Ketika di sekolah menengah aku Berjaya mewakili akademi dan sukan hingga peringkat negeri. Aku Berjaya tepat kelima teratas di dalam kelas. Aku juga ditawarkan jawatan pengawas tetapi aku menolak dengan sukarela. Kerana bukan itu yang aku kejar.

            Ketika di university, aku agak aktif berpesatuan. Sangat aktif berprogram sehingga di luar kampus. Cukup untuk aku buktikan apabila bakat dicungkil dan di asah dengan betul dan baik maka akan ada hasilnya. Kerana setiap ciptaan Allah itu sangat bernilai. Beri peluang. Beri ruang untuk anak-anak. Asah segala bakat-bakat yang terpendam. Benda begini bukan hanya ditonjol dengan rela. Kadang perlu dipaksa untuk dikeluarkan bakat-bakat tersebut.  Cari, gali. Setiap anak ada nilai mereka tersendiri. Tidak semestinya mereka tidak cemerlang akademik maka mereka tidak cemerlang dalam bidang lain.

            Sebagai pendidik, tolong jangan menolak anak-anak yang tidak cemerlang akademik. Bantu mereka dengan beri peluang dan ruang. Kadang bakat terpendam itu perlu di asah. Bukan hanya sekali tapi berkali-kali. Pepatah melayu ada kata ‘Belakang parang kalau di asah akan tajam juga’.