ceritaku

Thursday, August 18, 2011

kerisauanku..

Ya Allah yang Maha Pengampun lagi maha penyayang, ampunilah dosa-dosaku, dosa-dosa kedua ibu bapaku, dosa-dosa saudara2ku, dosa-dosa orang2 di sekelilingku serta seluruh muslimin dan muslimat.

Ya allah yang Maha Pendengar lagi Maha mengetahui akan segala sesuatu yang tidak aku ketahui.. sesungguhnya kerungsinganku ini hanya kau yang maha mengetahui Ya Allah.. kerisauanku ini hanya kau Yang mendengarnya ya Allah.. padamu aku mengharap dan terus mengharap..

Ya Allah.. sesungguhnya engkau mengetahui betapa kasihnya aku pada saudaraku ini ya Allah.. engkau tahu betapa sayangnya aku dengannya ya Allah.. dan semua ini hanya pinjaman darimu Ya Allah.. justeru dengan itu, aku turut berasa risau dan runsing akan masa depannya yang hanya dalam pengetahuanMu sahaja ya allah.. sebagai hamba yang lemah, yang hanya mampu merancang, dan kau sebaik-baik perancang, aku mohon ya Allah.. Kau temukanlah dia dengan pembimbing yang soleh.. yang mampu membimbing dirinya mendekatiMu ya Allah.. Yang mampu memimpin dirinya mencapai keredhaanMu ya Allah.. yang akan menemaninya di alam abadiMu ya Allah..

Ya allah…aku bimbang akan dirinya Ya Allah.. aku ingin melihat dia membina sebuah keluarga yang sakinah..keluarga yang penuh dengan rasa kehambaan kepadaMu Ya Allah.. keluarga yang akan menjadi rantai-rantai perjuangan menegakkan kalimahMu Ya Allah.. kerana itu aku mengharapkan seorang yang soleh, seorang yang meletakkanMu Ya Allah dalam setiap perkara untuk menjadi pendamping dirinya Ya Allah… andai impianku ini terlalu tinggi, kurniakanlah dia seorang pendamping yang mampu menerajui bahtera dengan meletakkan diriMu Ya Allah yang paling utama.. bukan harta, bukan ringgit Malaysia, bukan kereta, bukan dunia yang menjadi maharnya..akan tetapi kecintaannya kepadaMu Ya allah yang menjadi mahar buat saudaraku ini ya Allah..

Ya Allah…janganlah kau bolak balikkan hati kami ya Allah.. tetapkanlah hati-hati kami di jalan yang lurus..jalan-jalan yang engkau redhai.. amin..

Wednesday, August 3, 2011

CemburuNYa..tpi..

getus hati "cemburunya dengan mereka yang banyak amalannya di bulan ramadhan ini, ya Allah terasa diri ini jahil,hina,daif di sisiMU berbanding mereka"

tapi kata nabi (sallallahu'alayhiwasallam)...

“Daripada Aisyah r.ha., Nabi Muhammad SAW bersabda: “Wahai manusia lakukanlah amalan mengikut keupayaan kamu. Sesungguhnya Allah tidak jemu sehinggalah kamu jemu. Amalan yang paling Allah sukai ialah amalan yang berterusan walaupun sedikit.”(Riwayat al-Bukhari dan Muslim)

hati mula berbunga sambil berusaha untuk istiqomah walaupun sedikitnya amalanku di bulan ramadhan ini. yaAllah.. tetapkan hatiku untuk istiqomah tanpa mengetepikan fastabiqul khairat (berlumba-lumba untuk mengerjakan kebaikan) :)

Tuesday, August 2, 2011

Ayuh Manfaatkan Ramadhan

Alhamdulillah. Syukur pada Allah, kerna apa? kerna kita masih bernafas dan kita masih mampu melihat matahari memancarkan sinarannya. Alangkah bertuahnya kita, sama ada kita sedar atau pun tidak, kita masih lagi diberi kesempatan oleh Allah SWT, dipanjangkan umur kita untuk berjumpa bulan yang mulia, bulan yang penuh keberkatan di dalamnya, bulan yang mana ada satu malam di dalamnya lebih daripada baik daripada seribu bulan iaitu bulan Ramadhan. Rasanya, amat rugi jika kesempatan yang Allah beri untuk kita pada bulan mulia ini kita sia-siakan begitu sahaja. Amat rugi jika kita masih melakukan amalan bagai melepaskan batuk di tangga. Kan?

Sahabat-sahabat yang dikasihi sekalian, Kita perlu sedarkan diri kita bahawa dari kecil hingga kini kita bergelumang dengan nikmat Allah yang tidak terhingga. Jika dikira serta dihitung nescaya tidak terhitung ! Hari ini, kita masih ada mulut untuk berbicara, hari ini, kita masih ada tangan, kaki dan tubuh badan yang sihat untuk melakukan sesuatu, hari ini, kita masih mata untuk melihat, hari ini juga kita masih ada jantung yang mengepam darah untuk kita terus hidup dan bernyawa. Lihatlah dan renunglah, betapa besar dan banyaknya nikmat Allah yang kita nikmati. Hari ini juga Allah masih memberikan nikmat bulan Ramadhan kepada kita. Bulan yang belum tentu kita akan ketemu pada masa akan datang.

Oleh itu, apakata pada bulan Ramadhan ini, bulan yang mana setiap amal kebaikan atau kebajikan dilipatgandakan pahalanya, kita menggunakan mulut yang Allah anugerahi kepada kita itu untuk berdzikir memuji dan membesarkan-Nya serta membaca al-Quran dan bukannya digunakan untuk mengumpat atau ber “soksek” tentang perkara yang tidak membawa apa-apa faedah. InsyaAllah, bilamana dengan hanya kita berzikir kepada-Nya sahaja, Allah akan menganjarkan pahala yang berlipatganda kepada kita. SubhanAllah, betapa Pemurahnya Allah. Namun, berhati-hatilah dengan mulut yang Allah anugerahi itu, silap masa dan ketika, kerana mulut badan binasa. Kerana mulut, puasa kita sia-sia.

Apakata juga kita menggunakan tangan, kaki dan tubuh badan yang sihat yang Allah anugerahi kepada kita untuk beribadat sesungguhnya kepada Allah, melakukan amal kebajikan sesama insan dan bukannya kita menggunakannya pada perkara-perkara maksiat, pada perkara-perkara yang Allah benci. Jika mata kita masih mampu melihat, sebaiknya kita menggunakan mata yang Allah anugerahi kepada kita itu untuk membaca bait-bait Cinta Allah iaitu Kitabullah yakni al – Quran dan bukannya kita menggunakan ia untuk melihat perkara-perkara maksiat, benda-benda yang boleh mempunahkan iman kita.

Kita juga perlu sedar, bukan semua insan yang terpilih untuk bersama menikmati bulan Ramadhan kali ini. Ada yang telah kembali pada Allah dan kita, alhamdulillah kita masih hidup. Selagi kita masih hidup di bulan Ramadhan ini, jangan kita bermalas-malasan ! jangan kita bertangguh-tangguhan dalam melakukan amal kebaikan. Manfaatkanlah sebaiknya ! bulan Ramadhan bulan ibadat. Ingatlah, ‎"Barangsiapa yang berpuasa dengan penuh keimanan dan keikhlasan maka akan diampuni semua dosa-dosanya yang terdahulu." (Muttafaq 'alaih).

Jadi, marilah sama-sama kita berusaha menjaga kesemua pancaindera dan anggota tubuh badan daripada mendekati atau melakukan maksiat dan perkara yang sia-sia. Dengan demikian ibadah puasa kita insyaAllah akan derdhai dan diterima. Terdapat ramai yang memenatkan diri dengan berlapar dan berdahaga, membiarkan diri terdorong kepada perlakuan dosa dan noda, kerana itu puasanya rosak binasa dan keletihannya tidaklah berbaloi sebagaimana maksud sabda Rasulullah s.a.w.: Ramai yang berpuasa tidak mendapat ganjaran daripada puasanya melainkan lapar dan dahaga. (Riwayat an-Nasaei)

AYUH! MARILAH KITA MANFAATKAN BULAN RAMADHAN INI UNTUK BERIBADAH MENGGAPAI REDHANYA !

moga Allah redha :)

by: ilmi-islami.com

Monday, August 1, 2011

SeOrang PenDosa MeMasuki RamaDhan

Kamu, saya dan mereka. Kita semua adalah pendosa. Ya. Sungguh, banyak kesilapan telah kita lakukan, hasil kelalaian kita selama ini. Sudah diingatkan berkali-kali tetapi tetap alpa dan leka. Akhirnya terpalitlah pada diri ini dosa-dosa, yang kalau kita lakarkan lukisan bentuk hati di atas kertas dan menitik satu titik hitam bagi setiap dosa, nescaya mungkin gelaplah lakaran bentuk hati itu lantaran banyaknya dosa-dosa kita.

Namun, pendosa seperti kita ini, Allah SWT berikan lagi Ramadhan kepadanya.

Apakah perasaan?

Jujurnya, saya rasa terharu apabila seorang pendosa seperti saya, diberikan oleh Allah SWT peluang untuk memasuki Ramadhan yang teramat-amat mulia ini.

Ya. Terharu. Seakan-akan Allah SWT bersuara:

“Nah, ini peluang untuk kamu membersihkan diri.”

Seakan-akan, ini adalah bukti tanda Allah masih ‘mahu’ pendosa ini memasuki syurgaNya.


Ramadhan yang mahal buat pendosa.

Hanya orang yang mati sahaja akan mengetahui nikmat hidup. Dan hanya orang yang mati sebelum Ramadhan sahaja yang akan mengetahui betapa mahalnya sebuah Ramadhan untuk dirinya.

Ramadhan adalah medan di mana Allah lambakkan segala ganjaran. Tetapi lebih dari ganjaran-ganjaran tersebut adalah, Ramadhan ini Allah lambakkan juga dengan peluang-peluang keampunan yang terbuka luas.

Daripada Abu Hurairah telah berkata bahawa Rasullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud : “Sembahyang yang difardhukan kepada sembahyang yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan Jumaat kepada Jumaat yang sebelumnya merupakan penebus apa antara keduanya, dan bulan kepada bulan(iaitu Ramadhan) merupakan kaffarah apa antara keduanya…” Hadith Riwayat Ahmad, Al-Hakim dan Baihaqi.

Abu Hurairah telah berkata bahawa Aku telah mendengar Rasulullah S.A.W bersabda tentang Ramadhan yang bermaksud : “Sesiapa yang mendirikannya(Ramadhan) penuh keimanan dan keikhlasan diampunkan baginya apa dosanya yang telah lalu.” Hadis riwayat Bukhari, Muslim, Tarmizi, Abu Daud, Nasai’e,Malik,Ahmad dan Baihaqi.

Mengapa peluang keampunan itu mahal?

Kerana keampunan itu memadamkan dosa-dosa.

Apakah yang lebih bermakna untuk seorang pendosa, selain dipadamkan dosa-dosanya?



Allah masih memandang kita. Apakah yang lebih besar?

Dan perasaan bahawa Allah SWT masih memandang kita, masih memberikan peluang kepada kita, nyatanya di situ ada tanda yang jelas bahawa ALLAH MASIH SAYANG KITA, justeru hati pendosa mana yang tidak kembang dengan perkara ini?

Seakan-akan orang yang lapar tidak makan berhari-hari, yang kemudiannya diberikan makanan. Begitulah pendosa-pendosa yang gelisah dengan dosa-dosanya dan kemudian diberikan ruang keampunan. Pasti ‘Sang Pemberi’ punya rasa belas.

Tidakkah kita rasa bertuah, di’belas kasihan’kan Allah SWT?

Allah SWT! Siapakah Allah? Tuhan Sekalian Alam. Yang Di tanganNya langit dan bumi. Yang Menguasai Segala-gala. Yang Maha Perkasa. Allah itulah yang sedang memandang kita para pendosa dan memberikan belas kasihanNya kepada kita dengan memberikan peluang Ramadhan kali ini buat kita.

Kita! Siapakah kita? Kita yang penuh dengan lumpur-lumpur dosa. Kita yang bila diberikan peringatan lupa. Kita yang bila ditegur tak ambil peduli. Kita yang terus-terusan mengulang dosa yang sama. Kita yang lambat bergerak menghargai peluang keampunanNya selama ini.

Apakah yang lebih besar dari perasaan “Allah Masih Memandang Aku. Allah Masih Sayang Aku.” Ini?

Nyata orang-orang yang melihat akan tersedar, lantas mengambil peluang Ramadhan ini.

Allah masih sayangkan kita.

Kita. Pendosa.



Penutup: Motivasi buat pendosa yang masih hidup. Ramadhan ini, berubahlah.

Tanda bersyukur bukanlah hanya dengan menyebut alhamdulillah.

Orang yang bersyukur dengan pemberian kedua-dua ibu bapanya, dia akan bersungguh-sungguh untuk hidup dengan baik. Ibu bapa beri duit untuk dia belajar, dia belajar bersungguh-sungguh.

Maka orang yang bersyukur dengan pemberian Allah SWT, dia akan bersungguh-sungguh untuk hidup dengan baik juga. Allah SWT memberikan kita Ramadhan untuk menjadi lebih baik, maka kita mengambil segala peluang yang wujud di dalam Ramadhan dengan bersungguh-sungguh.

Kalau Allah benci dengan kita, Dia boleh sahaja mematikan kita sebelum Ramadhan.

Tidak memasukkan kita dalam kalangan yang mendapat peluang ini.

Tetapi sekarang, Ramadhan telah tiba dan kita berada di dalamnya.

Maka marilah kita, para pendosa yang masih hidup ini, bersyukur, dengan mengambil peluang Ramadhan ini, menjadikan Ramadhan kali ini medan perubahan kita.

Ayuh!

by: HILAL ASHRAF